Make your own free website on Tripod.com
MUSLIMAT IKATAN PERSAUDARAAN ISLAM JEPUN
Awet Muda

HOME

Awet Muda 

Nenek bangun seperti biasa pada pagi itu , tiada beza dengan hari-hari yang lain. Aku yang tidur dirumahnya pada malam itu tersedar dengan bunyi nenek dengan bantuan tongkatnya berjalan menuju kebilik air. Perlahan saja langkahnya. Jam tepat menunjukkan pukul 4.30 pagi, nenek akan bangun untuk mengerjakan solat tasbih, tahajud, hajat dan witir.*Bagusnya nenek, detik hatiku, sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk bangun menyembahMU pada setiap hari. Lain sungguh dengan aku yang malas ini , pada kebiasannya aku akan tidur sampailah jam 6.30 pagi. Kalau difikirkan malunya aku pada nenek.

Aku ingat lagi masa itu aku kecil lagi. Aku pernah bertanya nenek apa yang didoakannya setiap kali? Setelah selesai solat menyembah Allah rupa-rupanya nenek akan meneruskan berdoa untuk kebahagiaan dunia dan akhirat untuk arwah Atok, moyang, anak-anak dan cucu cicitnya dan semua muslimin dan muslimat. Nenek kata dia akan mendoakan semoga semua akan tergolong nanti sebagai mereka yang soleh dan solehah dan beroleh kejayaan yang hakiki dialam abadi nanti. Aku tak berapa faham maksudnya waktu itu.

Aku suka dengar nenek bercerita , bertanya pada nenek tentang pengalaman hidupnya dan apa saja. Pernah satu hari nenek bercerita tentang kesusahan zaman perang zaman penjajahan Inggeris dan juga Jepun dulu. Macamana susah payahnya mencari makanan dan rezeki untuk sesuap ubi.

Sebenarnya anak-anak hari ni sangat bertuah malah sangat perlu menambahkan kesyukuran pada Allah swt. Banyak sangat kemudahan dan kesenangan yang mereka dapat pada masa ini. Tak seperti zaman kecil nenek , terpaksa makan ubi lembik tumbuk setiap hari. Kemudian dibahagi-bahagi pula dengan adik-beradik yang lain.

Sejak aku meneruskan pengajian diJepun ni tak selalu dapat melihat nenek, tapi aku tau dia pun rindu pada aku. Setiap kali balik ada saja gambar terbaru aku yang akan dimintanya. Disimpan ditepi katilnya , ditenungnya bila rindu dan didoakannya selalu. Sedihlah aku nenekaku juga merinduimu.

Selagi hayat nenek masih ada, marilah kita hargainya, kita korek pengalaman darinya kerana jika kita panjang umur kita akan menggantikan tempatnya nanti. Salam saying buat nenek .moga ketemu lagi.  

 

Coretan ikhlas, Wardah